TELUK INTAN – Bandar Teluk Intan akan mempunyai kampus cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2019, kata kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong
Beliau berkata proses pengambilan 80 ekar tanah daripada pihak swasta di Batu 4 di Changkat Jong telah pun selesai.
“Kerja-kerja pembersihan tapak itu telahpun bermula awal Mac membabitkan kawasan tanag seluas 42 ekar bagi fasa pertama.
“Kita jangkakan kerja rawatan tanah, infrastruktur dan kerja pembinaan bangunan dijangka siap pada awal 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semasa pilihan raya kecil kawasan Parlimen Teluk Intan pada 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan cawangan UPSI di Teluk Intan.
Mah yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan berkata dengan adanya kampus cawangan UPSI dan institusi pendidikan lain seperti kampus perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Komuniti dan Kolej Vokasional di Teluk Intan, daerah Hilir Perak bakal menjadi hab pendidikan negara menjelang tahun 2020.
“Ini bukan sahaja mendorong kepada peningkatan tahap intelektual di kawasan Hilir Perak, tetapi juga dapat merangsang pembangunan ekonomi di Teluk Intan,” katanya.
Difahamkan pembinaan Kampus UPSI Cawangan Teluk Intan akan menempatkan Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional (FPTV) dengan 1,000 orang pelajar. – BERNAMA