SEOUL – Sebuah kapal selam Korea Utara dilaporkan hilang semalam, ketika negara terpencil itu mengeluarkan ancaman terbaru sebagai tindak balas terhadap latihan bersama tentera AS dan Korea Selatan.
Kapal selam yang tidak diketahui kelasnya dilaporkan beroperasi di luar pantai Korea Utara awal minggu ini ketika ia hilang.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan memberitahu AFP, Seoul sedang menyiasat laporan itu sementara pegawai Pentagon enggan mengulas lanjut.
Difahamkan tentera AS memantau kapal selam itu di luar pantai Timur Laut negara itu, kata CNN memetik tiga pegawai AS yang enggan dikenali.
Satelit pengintip Amerika, kapal terbang dan kapal turut memantau operasi tentera laut Korea Utara dalam usaha mencari kapal selam yang hilang, kata laporan itu.
Lapor CNN, Amerika Syarikat tidak pasti sama ada kapal selam yang hilang itu hanyut atau tenggelam, namun pegawai percaya ia mengalami kerosakan semasa latihan. – AFP/BH ONLINE