KUALA LUMPUR – Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang aktiviti menulis dan membaca Al-Quran dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab.
Pengerusinya, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T dalam bahasa Arab dan bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran maka Al-Quran tidak boleh ditulis dalam bahasa lain kecuali tafsirannya.
Sehubungan itu, katanya, LPPPQ memandang serius ke atas kempen “Lets Read The Quran†yang sedang digerakkan pihak tertentu di negara ini bagi menulis dan membaca Al-Quran dalam bahasa selain bahasa Arab.
“Al-Quran ada kaedah pembacaannya dengan bertajwid, bertarannum dan makhraj yang betul, Al-Quran yang telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan mereka yang tidak memahami bahasa Arab memahami makna Al-Quran.
“Namun, terjemahan tersebut bukan merupakan naskah Al-Quran, tetapi merupakan terjemahan Al-Quran atau tafsiran Al-Quran.
“Namun begitu, terjemahan Al-Quran hendaklah bersama-sama dengan teks Al-Quran dalam bahasa Arab, terjemahan naskah Al-Quran tanpa teks bahasa Arab dilarang dan ditakuti disalah fahami dan membacanya tidak mendapat pahala,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Harussani dalam pada itu menegaskan, Al-Quran adalah kalam Allah dan membacanya akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah S.W.T walaupun tidak mengetahui maknanya.
Menurutnya, Al-Quran kitab suci yang mempunyai hukum tertentu apabila berkait dengannya dan Al-Quran haram disentuh melainkan dalam keadaan berwuduk selain dilarang membacanya dalam keadaan berhadas besar.
“Ini adalah cara memuliakan Al-Quran sebagai kalam Allah,” tegas beliau yang juga merupakan Mufti Perak.
Justeru, kata beliau, menulis dan membaca naskah Al-Quran dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab adalah dilarang sama sekali.
Kata Harussani, penulisan Al-Quran dalam bahasa lain tanpa ada teks bahasa Arab tidak boleh dianggap sebagai Al-Quran.
“Perbuatan ini boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak (AMCP) 1984.
“LPPPQ bersama-sama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri di seluruh Malaysia akan mengambil tidakan tegas bagi menyekat gerakan dan kempen berkenaan,” katanya. – mynewshub.cc