AKTOR Keith Foo yang mula popular dalam kalangan peminat Malaysia menerusi lakonannya dalam drama bersiri yang pernah disiarkan oleh TV3 iaitu Ariana Rose telah menolak mana-mana tawaran berlakon.
Ini kerana beliau dikhabarkan ingin memberi sepenuh tumpuan kepada pementasan teater yang bakal dibintanginya iaitu Ombak Rindu.
Teater Ombak Rindu yang bakal dipentaskan di Istana Budaya penghujung April ini mempetaruhkan Keith sebagai peneraju utama teater tersebut memegang watak sebagai Hariz.
Menurut Keith pada sidang media yang diadakan baru-baru ini, teater ini merupakan teater pertama beliau dan dia bercadang untuk memberi sepenuh komitmen terhadap teater tersebut.
Apatah lagi memandangkan teater ini diadaptasi daripada filem Ombak Rindu yang pernah mencetuskan satu fenomena dalam industri filem negara suatu ketika duahulu.
Baginya, pementasan teater berbeza dengan lakonan, teater merupakan siaran langsung, terus kepada peminat, berbeza dengan lakonan, ianya boleh di’cut’ dan diulang semula babak berkenaan.
Menurut sebuah portal hiburan, Keith sudah bersedia dengan kritikan yang bakal dia terima apabila membawa watak Hariz dalam teater berkenaan.
Kemungkinan juga dia akan dibandingkan dengan Aaron Aziz selaku peneraju watak utama bagi filem berkenaan.
Baginya kritikan yang bersifat positif atau negatif harus diterima dan peluang yang diberi akan diguna sebaik mungkin bersama-sama krew produksi teater tersebut bagi menjayakan pementasan itu. –MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=jfuHOwz4y40]