KUALA LUMPUR – Kelab Naib Ketua Bahagian UMNO 1Malaysia (NKB1M) menyatakan sokongan padu terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak terus memimpin negara sebagai perdana menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO.
Justeru mereka melafazkan rasa amat kecewa dan tersinggung terhadap tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terbuka terang-terangan bersekongkol dalam gerakan menjatuhkan Najib secara tidak berpelembagaan.
Ini termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta segelintir mantan pemimpin dan ahli parti yang didakwa berniat untuk melantik individu lain sebagai perdana menteri waima tokoh pembangkang.
Perkara tersebut ditegaskan dalam satu sidang media khas penyerahan memorandum taat setia kepada pihak ibu pejabat UMNO di sini pada Selasa dengan NKB1M diketuai pengerusinya, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh berkata, kesemua naib ketua bahagian parti itu dari seluruh Malaysia teguh dengan pendirian menyokong Najib dan mengutuk keras persekongkolan jahat Mahathir.
Negarawan itu dan beberapa tokoh UMNO ujarnya sanggup bekerjasama dengan DAP serta pembangkang yang dahulunya pernah melontarkan kata-kata berbaur penghinaan sewaktu 22 tahun pemerintahan Mahathir sendiri.
Tambah memualkan lagi, Mahathir bersekongkol dengan aktivis dan peneraju badan bukan kerajaan haram yang merupakan komponen Bersih, Comango serta Suaram terkenal memperjuangkan liberalismes dan pluralisme.
Ini meliputi kebebasan amalan murtad, kesaksamaan LGBT dan pemansuhan undang-undang syariah oleh badan-badan anktikerajaan itu juga suatu pengkhianatan nyata terhadap prinsip UMNO yang berpaksikan ajaran Islam.
Anuar secara lantang sekeras-kerasnya menolak segala bentuk penglibatan mantan pemimpin, pemimpin semasa dan ahli UMNO yang menandatangani ‘Deklarasi Rakyat’ konon bertema ‘Selamatkan Malaysia’ pada 4 Mac lalu.
Wakil Kelab NKB1M dari seluruh negara percaya bahawa Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz tidak mampu untuk mengawal apatah lagi menerajui hala tuju pakatan pembangkang yang bertunjangkan idealisme songsang.
Bahkan mereka yakin bahawa kelompok ‘desperado’ ini yang menongkah arus perjuangan UMNO akan tenggelam dan lemas dalam pukulan badai kerana majoritinya adalah golongan bersifat anti-Melayu dan anti-Islam.
NKB1M turut menggesa kerajaan untuk menggunakan kuasa yang ada bagi melucutkan jawatan dipegang oleh Mahathir dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) antaranya Yayasan Kepimpinan Perdana, Petronas dan Proton.
Kelab itu juga menggesa Majlis Tertinggi UMNO untuk memecat keahlian Muhyiddin, Mukhriz selain Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Tan Sri Sanusi Junid daripada parti tersebut kerana terlibat dengan ‘Deklarasi Rakyat’.
Susulan peristiwa itu, NKB1M turut mengusulkan ibu pejabat UMNO melakukan proses ‘pemutihan’ yang luas bagi membersihkan parti daripada ahli tidak bersehaluan, berketaatan dan kesetiaan kepada puncak pimpinan.
Mengakhiri sidang media itu, memorandum yang ditandatangani semua naib ketua bahagian yang hadir diserahkan kepada Azwan Aziz yang mewakili Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. – MYNEWSHUB.CC