KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan masih menunggu laporan pihak sekolah berhubung kejadian seorang murid di Klang, Selangor yang didakwa dipaksa menggunting lidahnya oleh beberapa murid lain, minggu lepas.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata pihak sekolah sepatutnya telah menghantar laporan penuh mengenai kejadian itu namun kementeriannya masih belum menerimanya.
Katanya kementerian akan memastikan pihak sekolah menghantar laporan itu secepat mungkin untuk tindakan lanjut.
“Kita harus menunggu laporan sekolah dan laporan polis sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Pada Khamis lepas, Muhammad Alif Shukran Alias, 8, mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama.
Berikutan kejadian itu, lidah mangsa putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan. – BERNAMA