SEPANG — Keupayaan ketersambungan dan isyarat kamera
pengawasan hidupan liar di Taman Negara akan dipertingkatkan untuk aktiviti
pemantauan dan pemuliharaan hidupan liar yang lebih berkesan, kata Menteri
Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata terdapat kira-kira 300 kamera pengawasan beroperasi di
beberapa lokasi strategik di Taman Negara ketika ini, namun dalam situasi
tertentu kamera berkenaan gagal memberikan isyarat seperti yang diharapkan.
“Isyarat daripada kamera tersebut dihubungkan terus kepada telefon pintar
anggota penguat kuasa, tetapi seringkali masalah ketersambungan menjejaskan
usaha pemantauan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan
kementerian itu di Paya Indah Wetlands Dengkil dekat sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman
Negara (Perhilitan) segera berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan
Multimedia bagi mencari kaedah meningkatkan ketersambungan kamera berkenaan.
“Jika tidak diatasi masalah ketersambungan ini akan menjejaskan sebarang
aktiviti pemuliharaan, pemantauan dan kaji selidik terhadap hidupan liar yang
sedang dilakukan,” katanya.
Wan Junaidi berkata peningkatan kapasiti dari aspek sambungan kamera itu
juga memberi faedah besar kepada usaha memulihara 300 ekor harimau spesies
Malayan Tiger yang dilihat semakin terancam, khususnya daripada aktiviti hutan
dan pemburuan haram.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata Perhilitan merekodkan 4,040 kes jenayah
hidupan liar merangkumi pemburuan haram, penyeludupan, pelesenan, pencerobohan,
kezaliman terhadap hidupan liar dan milikan tidak sah bagi tempoh 2011 hingga
tahun lepas.
Bagi kes jenayah hidupan liar di bawah kategori penjualan hidupan liar dalam
talian pula, sebanyak 40 kes direkodkan sejak 2013 hingga Februari lalu,
katanya.
Pada majlis itu, Wan Junaidi turut melancarkan buku mewah Malayan
Tiger: An Iconic National Treasure, sebuah terbitan memaparkan visual harimau
belang yang diambil menggunakan perangkap kamera dan visual di Taman Negara, di
Sungkai, Perak.– BERNAMA