KUALA LUMPUR – Komanwel sentiasa dilihat sebagai platform unik bagi negara-negara anggotanya menekankan pandangan kolektif mereka berhubung isu-isu kepentingan bersama.
Bersempena sambutan Hari Komanwel hari ini, Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata Malaysia menganggap Komanwel sebagai sebuah organisasi antarabangsa yang penting dan dapat memainkan peranan sebagai pemimpin dan penasihat, khususnya dalam menangani pelbagai cabaran global yang menjejaskan negara-negara anggotanya, terutama negara kecil dan kurang membangun.
“Malaysia telah menunjukkan komitmen dan sokongan yang jitu kepada Komanwel, serta akan menganjurkan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada 2020,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, negara Komanwel juga bekerjasama dan menzahirkan komitmen terhadap nilai serta prinsip organisasi tersebut khususnya dalam mencari penyelesaian praktikal bagi sebarang tugas dan cabaran besar yang dihadapi oleh Komanwel dan dunia secara amnya.
Menurut kenyataan itu, tema “Sebuah Komanwel Yang Inklusif” bersempena sambutan Hari Komanwel itu juga dilihat merujuk kepada nilai toleransi, menghormati dan memahami, ekuiti serta keadilan seperti yang termaktub dalam Piagam Komanwel.
“Tema ini mengiktiraf kepentingan dalam mengimbangi antara keterangkuman dan kesaksamaan. Dalam peredaran masa, Komanwel perlu bertindak sebagai rangkaian untuk sokongan bersama dan pembangunan,” kata kenyataan itu. – BERNAMA