KUALA LUMPUR – Pasar malam di ibu negara bakal menjalani transformasi seiring dengan matlamat menjadikan lokasi tersebut sebagai salah satu kawasan tumpuan pelancongan negara.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor beberapa aspek yang diambil kira bagi menjayakan transformasi tersebut iaitu dari segi pengurusan, keseragaman, kebersihan dan pematuhan syarat lesen.
“Sebanyak 98 pasar malam yang aktif telah dikenalpasti beroperasi di seluruh Kuala Lumpur. 75 daripadanya berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala selebihnya sedang dalam proses melengkapkan pengurusan pendaftaran.
“Bagi memastikan hala tuju Transformasi Pasar Malam ini boleh dilaksanakan dengan baik dan sempurna, pihak DBKL telah menubuhkan satu Task Force Pasar Malam yang khusus untuk menyediakan satu Standard Operasi Prosedur bagi memastikan semua penganjur pasar malam jelas dan memahami objektif bidang perniagaan ini.
“Terdapat empat aspek utama dalam Task Force ini iaitu dari segi aspek pengurusan, keseragaman, kebersihan dan pematuhan syarat lesen,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam Kuala Lumpur di Pasar Malam Jalan Kuching, di sini hari ini.
Walaupun pihak DBKL bertanggungjawab terhadap aspek kebersihan, namun Tengku Adnan tetap mengingatkan peniaga pasar malam agar bersama-sama menjaga kebersihan kawasan perniagaan mereka bagi memastikan tempat tersebut bersih seperti sedia kala menjelang keesokan hari.
Tengku Adnan turut menyeru peniaga agar mencontohi peniaga pasar malam di Chiang Mai, Thailand yang turut bersama-sama menjaga kebersihan pasar malam sehinggakan tiada satu sampah pun kelihatan di tempat sama pada keesokan harinya.
“Kita lihat (contoh seperti) pasar malam di Chiang Mai, malam berniaga, pagi esok tempat tu jadi bersih balik. Itu yang kita nak ikut transformasi supaya pasar malam negara kita turut menjadi bersih seperti itu,” katanya.
DBKL turut menyediakan khemah, meja dan apron untuk semua peniaga berdaftar agar aspek keseragaman dapat diterapkan bagi menjayakan program perubahan imej pasar malam secara besar-besaran ini.
“Kita harap dengan cara ini peniaga pasar malam dapat menjaga kebersihan dan menjual barangan mereka kepada rakyat dengan harga berpatutan,” ujar beliau lagi.
Buat masa ini, hanya lima pasar malam yang sudah berjaya melakukan transformasi tersebut iaitu Pasar Malam TTDI, Pasar Malam Taman Melati, Pasar Malam Taman Sri Rampai, Pasar Malam Jalan Ang Seng dan Pasar Malam KOAGTIF Taman Desa. – MYNEWSHUB.CC