KUALA LUMPUR – Seperti biasa, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan partinya, DAP akan membangkitkan isu-isu lain untuk diperbesar-besarkan oleh media propembangkang bagi mengalih perhatian orang ramai daripada isu yang sedang membelenggu diri dan partinya.
Sebelum ini beliau menggunakan nama bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengalih perhatian masyarakat daripada isu rasuah membabitkan skandal pembelian banglo di bawah harga pasaran ke atasnya.
Hari ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP seolah-olah menggunakan keputusan mahkamah berhubung kes remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis di Shah Alam, Selangor kira-kira enam tahun lalu pula untuk menyelamatkan kedudukannya.
Ia ekoran satu kenyataan media mempertikaikan pendirian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang enggan meminta maaf kepada keluarga Aminulrasyid berhubung kes remaja berkenaan tetapi dalam masa sama menyamakan kes itu dengan kes rasuah yang dihadapinya.
“DAP tidak bersetuju dengan Ketua Polis Negara yang polis sentiasa profesional. Dia meyakinkan saya bahawa pihak polis tidak akan bertindak dengan cara berbeza dalam menyiasat dakwaan rasuah terhadap saya.
“Tetapi KPN telah memberi respons yang cepat di luar kebiasaan iaitu hanya selepas 48 jam laporan kes itu dibuat,” dakwanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Guan Eng sebelum ini membangkitkan Allahyarham Nik Abdul Aziz pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan palsu ‘rasuah’ ke atas perjalanan umrah tajaan oleh seseorang ke Mekah pada tahun 2009.
Dalam kejadian tembak di Shah Alam kira-kira enam tahun lalu, anggota polis melepaskan tembakan ke arah kereta yang dinaiki Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Shah Alam pada pagi 26 April 2010 dan pada waktu itu Khalid merupakan Ketua Polis Selangor.
Khalid bertegas tidak perlu memohon maaf kepada keluarga Aminulrasyid berhubung kenyataannya terdapat parang dalam kereta dinaiki remaja itu kerana kenyataan itu berdasarkan fakta polis pada waktu itu.
Ketua Polis Negara dipetik berkata, beliau hanya menyatakan sebilah parang ada di dalam kereta itu dan tidak menuduh remaja belasan tahun itu menggunakannya. - MYNEWSHUB.CC