KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan beliau akan menyertai perhimpunan pembangkang untuk menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan di ibu negara pada 28 Mac ini.
Pakar propaganda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli memaklumkan, Mahathir akan menghadiri perhimpunan anti-kerajaan yang dibuat di Pandan Indah, Selangor.
“Mahathir mengesahkan akan hadir ke himpunan yang pertama di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“Pengesahan diberikan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang menyelaraskan program bagi pihak Mahathir,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Rafizi menambah, jadual perhimpunan itu telah diselaraskan dengan jadual Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan turut membantu menjayakan perhimpunan berkenaan.
Menurut beliau, perhimpunan itu bertujuan menyemarakkan semula gelombang reformasi dalam kalangan rakyat bagi menggulingkan Najib dan kerajaan. - MYNEWSHUB.CC