JIKA sebelum ini viral kisah Spiderman menjual nasi lemak dan Deadpool jual sarapan pagi di laman sosial, kini Iron Man mengikut jejak langkah kedua-dua adiwira ini dengan menjalankan perniagaan menjual coconut shake di Jalan Pintu Geng, Kota Bharu Kelantan.
Keunikan dan kreativiti yang ditampilkan oleh dua penjual sebelum ini, menggerakkan hati pemuda berusia 34 tahun, Mohd Khairi Abdul Aziz untuk tampil dengan kostum adiwiranya yang tersendiri iaitu Iron Man.
Menurut Khairi kepada sebuah akhbar tempatan, dia yang menjual coconut shake semenjak tahun lalu mengambil inisiatif ini sebagai peluang untuk melariskan jualannya di samping menghiburkan kanak-kanak sempena cuti sekolah yang sedang berlangsung.
Selain Iron Man, terdapat beberapa kostum watak lagi yang akan ditampilkan Khairi antaranya Star Wars, Batman, Kamen Rider dan karakter daripada permainan Halo.
Kelainan yang dilakukannya itu nyata menarik perhatian orang ramai yang bukan sahaja datang untuk membeli coconut shake yang dijual dengan harga RM2 hingga RM3.50 malah ada yang sanggup turun dari jauh semata-mata untuk ‘berselfie’.
Kostum yang dipakai Khairi dibelinya pada harga lebih RM1,000 daripada kenalan di Thailand dan mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan.
Bagi anda yang berada di sekitar Kota Bharu jangan lepaskan peluang untuk singgah di gerai coconut shake unik ini untuk merasai sendiri air tangan ‘Iron Man’. – MYNEWSHUB.CC