TAWAU – Pembinaan konsep makmal spesifikasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan-Program Inisiatif Libat Sama (NBOS-PILS) perlu diperluas ke semua sekolah sebagai langkah transformasi dalam pendidikan yang lebih baik.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching berkata konsep berkenaan dilihat mampu membantu meningkatkan prestasi pelajaran murid melalui pengajaran dan pembelajaran guru yang berkesan.
“Saya juga akan berusaha untuk memperluaskan konsep pembinaan makmal ini dan apa-apa projek yang memberi impak yang besar kepada rakyat Tawau seterusnya memberi impak positif dari segi ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Makmal Sains Spesifikasi NBOS-PILS dan Pelancaran Buku Panduan Kesedaran Menghadapi Gempa Bumi di Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakuba di sini, Jumaat.
Katanya NBOS-PILS dilaksanakan mulai 2014 membabitkan perbelanjaan sebanyak RM150,000 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi melibatkan empat buah sekolah di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Mulai tahun ini, Yap berkata kementerian bersetuju menyiapkan lima lagi makmal iaitu empat buah makmal di Besut, Terengganu dan satu di Tawau iaitu SMK Wakuba yang menjadi projek perintis di Sabah.
“Makmal serba canggih ini mempunyai ciri modular berkonsep ‘classroom-lab-classroom’,” katanya.
Beliau berkata iklim pembelajaran yang kondusif ditambah dengan prasarana lengkap dan kompetensi guru cemerlang sudah pasti mampu melonjakkan kejayaan dalam pendidikan kepada sekolah yang terlibat.
“Saya sangat berharap kemudahan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan prestasi keberhasilan murid khususnya dalam mata pelajaran Sains,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Wakuba, Dzulkarnain Mali berkata makmal itu akan dapat memberi manfaat kepada 483 pelajar di sekolah berkenaan dan berupaya menjadi penggerak kepada kewujudan kelas aliran Sains di sekolah tersebut. – BERNAMA