WASHINGTON – Malaysia yakin dapat menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (US VWP) penghujung tahun ini jika usaha mengurangkan peratus penolakan permohonan visa Amerika tercapai.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada masa ini, kadar penolakan permohonan visa Amerika di kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 3.34 peratus, kebanyakannya disebabkan masalah teknikal iaitu kesalahan mengisi borang permohonan.
“Jumlah permohonan yang ditolak adalah tinggi daripada syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Amerika Syarikat iaitu perlu di bawah tiga peratus,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini Selasa.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, tiba di sini awal pagi Selasa untuk lawatan kerja seminggu, antaranya untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear. – BERNAMA