LEONARDO DiCaprio telah berjaya melakonkan watak sebagai mangsa serangan beruang dalam filem The Revenant sekali gus membolehkan pelakon berkenaan menggenggam trofi berprestij Oscar.
Namun terdapat seorang individu yang mengetahui bagaimana rasanya menjadi mangsa beruang yang sebenar. Dia ialah Allena Hansen, 64 tahun.
Allena menyifatkan The Revenant sebagai cerita kelakar kerana kecederaan yang dialami oleh Leo akibat diserang beruang dalam filem itu adalah ringan.
Sebaliknya, Allena yang diserang binatang buas itu pada 2008 di California, Amerika Syarikat kehilangan hidung, telinga dan 14 batang gigi.
Dia berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan dua ekor anjing peliharaannya dan dengan mencucuk kuku pada ibu jarinya ke dalam mata beruang terbabit.
“Berdasarkan gambar saya ketika dimasukkan ke dalam bilik kecemasan, kecederaan yang dialami Leo sangat ringan,” katanya.
Allena kini telah menjalani berbelas-belas pembedahan dan rawatan pemulihan selama bertahun-tahun.
Dia bagaimanapun masih menetap di kawasan pedalaman di ladangnya di California, bertemankan empat ekor kuda dan dua anjing. – Mynewshub.cc