KUALA LUMPUR – Teka teki mengenai arah tuju bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak nekad mengumumkan keluar daripada UMNO akhirnya terjawab.
Dalam sidang akhbar di sini pada Khamis, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau akan terus kekal dalam UMNO sekali gus melenyapkan spekulasi pembangkang konon Muhyiddin bakal menyertai kem mereka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang turut hadir dalam sidang media itu juga berkata mereka berdua akan terus kekal dalam UMNO.
Mengulas dengan lebih lanjut, Muhyiddin menegaskan bahawa soal Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO buat kali kedua itu adalah hak peribadi negarawan tersebut atas sebab yang beliau sendiri maklum.
“Kenapa saya harus keluar hanya sebab Tun Mahathir keluar?” soal Muhyiddin sambil menjelaskan beliau tetap percaya pada perjuangan suci UMNO sejak ditubuhkan pada 1946 demi membela agama, bangsa dan tanah air.
Mahathir yang juga mantan Presiden UMNO pada Isnin lalu mengumumkan tidak menjadi ahli parti itu konon kerana hilang keyakinan kepada Najib dan akan menyertai UMNO semula apabila Najib bukan lagi presiden.
Muhyiddin bagaimanapun sekali lagi mempertikai dan mendakwa keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat minggu lalu yang menggantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden sebagai tidak mengikut prosedur parti.
Muhyiddin malah menyifatkan tindakan majlis tersebut sebagai gopoh dan mendakwa beliau akan merujuk kesnya itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk mendapatkan kepastian berhubung tindakan berkenaan.
Untuk rekod, Muhyiddin tidak hadir pada mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan itu waima dijemput secara rasmi oleh pihak ibu pejabat UMNO bahkan mengesahkan beliau tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan menyifatkan isu  penggantungan jawatan Muhyiddin konon tidak adil adalah tidak timbul ekoran ketidakhadiran beliau sendiri.
Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi langsung tidak campur tangan dalam urusan penggantungan Muhyiddin apabila mereka keluar dari mesyuarat itu.
Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kemudian mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi itu selama lebih dua jam bagi membincangkan isu penggantungan Muhyiddin oleh semua ahli.
Mereka secara sebulat suara memutuskan penggantungan Muhyiddin setelah mendapati beliau tidak membantu presiden malah berterusan pertikai kredibiliti Najib yang dianggap sebagai tidak wajar dengan kedudukannya itu.
Susulan keputusan tersebut, Majlis Tertinggi memutuskan Ahmad Zahid menjalankan tugas timbalan presiden parti sehingga tamat pemilihan jawatan UMNO yang dijangka diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Muhyiddin bagaimanapun tidak dilucutkan keahlian UMNO manakala jawatan-jawatan lain beliau dalam parti tunjang Barisan Nasional itu termasuk Ketua UMNO Bahagian Pagoh adalah kekal seperti biasa. – Mynewshub.cc