PUTRAJAYA – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Celcom Axiata Bhd hari Isnin memeterai perjanjian menjadi penaja utama persatuan itu selama tiga tahun mulai tahun ini.
Pemeteraian perjanjian itu yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra di sini disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perjanjian itu ditandatangani Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Datuk Seri Shazalli Ramly.
Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani penjanjian penajaan itu adalah Penaung BAM Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Menerusi perjanjian itu, Celcom Axiata antara lain akan menjadi penaja utama kepada Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5-10 April ini.
Sebelum ini, Maybank merupakan penaja utama BAM sejak 2011, namun menarik diri pada penghujung tahun lepas.
Difahamkan tajaan itu bernilai RM8 juta setahun, masing-masing RM4 juta daripada Celcom Axiata Berhad dan Axiata Group Berhad.
Proton menjadi penaja utama paling lama bersama BAM iaitu sejak 1995 sehingga Maybank mengambil alih pada 2011. – BERNAMA