KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Beliau berkata selepas ini pelajar lepasan STPM boleh memilih untuk melanjutkan pendidikan mereka di peringkat pengajian tinggi sama ada di kolej mahupun universiti ataupun memilih untuk bekerja.
“Selepas ini ada yang akan menjejakkan kaki ke dunia pengajian tinggi, universiti, kolej dan sebagainya, dan ada juga yang akan menceburi bidang pekerjaan,” katanya melalui akaun Facebooknya hari ini.
Najib berkata walau apapun bidang yang dipilih, mereka harus melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan tidak mustahil ia akan dapat dicapai suatu hari nanti.
Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negara dalam peperiksaan STPM 2015 meningkat kepada 2.65 berbanding 2.62 pada 2014.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata calon yang memperoleh PNGK 4.0 pada STPM 2015 pula mengalami sedikit penurunan iaitu 335 orang berbanding 390 orang pada STPM 2014.
Peratusan calon STPM 2015 yang mendapat PNGK 3.50 ke atas pula meningkat kepada 4,711 calon berbanding 4,285 pada tahun sebelumnya, katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2015 di Putrajaya hari ini. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]KwJsIEZQeso[/wpdevart_youtube]