KUALA LUMPUR – Orang Melayu dan Islam adalah faktor penentu politik negara berdasarkan kerangka Perlembagaan dan realiti nisbah populasi di Malaysia.
Pemimpin PAS Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, Pakatan Harapan bagaimanapun seolah-olah cuba menidakkan dan mahu mengubah fakta tersebut.
“Sangat memalukan dan tidak akan stabil jika diserahkan kepada orang lain seperti yang cuba digambarkan dengan cara Pakatan Harapan yang kelihatan bertuankan DAP.
“Kunci keamanan dan kesejahteraan negara adalah politik yang stabil dengan Islam didaulatkan seperti kedudukannya dalam Perlembagaan Negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Amzad dalam pada itu menegaskan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) Pakatan Harapan parti yang taat kepada DAP.
Kata beliau, DAP adalah ‘de facto leader’ yang menentukan hala tuju Pakatan Harapan.
“Apa kata Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng (pemimpin DAP) tiada yang akan berani bantah. Kalau bantah, orang seperti Saari Sungip dari PAN akan sanggah,” katanya.
Beliau dalam pada itu menyindir Kit Siang kerana tiba-tiba berbaik dengan bekas Presiden UMNO, Tun Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyidin Yassin.
“Siap angkat jadi jurucakap, jadi ketua,” sindirnya lagi. – MYNEWSHUB.CC