KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Pulau Pinang mengamalkan demokrasi yang sebenarnya berbanding Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Yang Dipertua DUN Selangor dan Pulau Pinang mengamalkan prinsip demokrasi kerana membenarkan usul pembangkang dibahaskan.
Manakala, katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat menolak usul tidak percaya terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang beliau failkan pada 25 Februari lalu.
“Saya terpaksa menyebut keputusan Tuan Yang Dipertua (Yang Dipertua Dewan Rakyat) amat mengecewakan kerana dia seharusnya membenarkan isu itu dibahaskan dalam Dewan Rakyat.
“Keputusan ini akan melemahkan lagi fungsi Parlimen,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selangor merupakan negeri yang ditadbir oleh kerajaan PKR manakala Pulau Pinang ditadbir oleh kerajaan DAP.
Dewan Rakyat bagaimanapun menjelaskan penolakan ke atas usul oleh Wan Azizah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mempertikaikan kuasa Peguam Negara adalah di bawah Perlembagaan Negara maka tidak wajar dibincangkan dalam Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat juga tidak tidak mempunyai kuasa dalam menentukan kedudukan jawatan Peguam Negara. – MYNEWSHUB.CC