KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) meminta semua penyokong Pakatan Harapan menerima bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan tangan terbuka.
Pemimpinnya, Suhaizan Kaiat berkata, tidak menjadi kesalahan untuk Mahathir menyertai pembangkang kerana perkara sama pernah dilakukan bekas pemimpin kerajaan.
“Kalau Mahathir bersama Pakatan Harapan jadi pertikaian, apakah bezanya Tengku Razaleigh Hamzah (1990) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (1999) yang pernah menjadi menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) kemudian bersama barisan pembangkang?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahathir selepas gagal menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu kini menjalin kerjasama dengan parti pembangkang untuk merealisasikan cita-citanya.
Beliau kelihatan cukup terdesak untuk menjatuhkan Najib atas kepentingan peribadinya hingga menyatakan tidak mengapa jika Malaysia diperintah DAP pada satu sidang media baru-baru ini.
Sidang media yang diadakan bersama parti pembangkang itu turut disertai anggota kumpulan penentang dalaman UMNO yang lain termasuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz dan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MYNEWSHUB.CC