SINGAPURA – Satu rakaman video yang menunjukkan seekor babi hutan seolah-olah ‘gila babi’ sehingga beberapa kali merempuh pagar di Bangkit Road, Bukit Panjang di sini menjadi tular menerusi laman media sosial tempatan.
Video yang dimuat naik ke Facebook pada 8 Mac oleh seorang pengguna media sosial republik itu dengan nama Gia Khaironi Inde itu dilaporkan sudah dikongsi sekitar 1,000 kali dan disaksikan hampir 50,000 kali.
Insiden di luar jangkaan tersebut dipercayai berlaku di salah satu perhentian bas berhampiran dengan sebuah kondominium di Bangkit Road, lapor stesen penyiaran milik pemerintah, Channel NewsAsia pada Khamis.
Dalam video netizen berkenaan, babi hutan tersebut kelihatan panik dan berlari ulang-alik sehingga berkali-kali merempuh pagar di perhentian bas tersebut, dipercayai mungkin cuba untuk melepaskan dirinya itu.
Beberapa saksi mendakwa, mamalia kategori najis mughallazah itu kelihatan seolah-olah mahu membebaskan dirinya daripada kawasan tersebut yang barang kali disangkakannya sebagai macam ‘kurungan pagar’.
Tiga wanita yang secara kebetulan sedang duduk menantikan ketibaan bas mereka di perhentian bas itu kelihatan agak tenang sambil memerhatikan sahaja gelagat babi hutan yang mungkin cukup kebingungan tersebut.
Setelah ia berkali-kali terlanggar pagar, babi hutan itu akhirnya berjaya ‘membebaskan dirinya’ dan kemudian dilihat segera berlari meninggalkan perhentian bas berkenaan menuju ke sebuah kawasan hutan berhampiran.
Lokasi kejadian tidak jauh dari Central Water Catchment Nature Reserve, hutan simpan terbesar di republik itu dengan berkeluasan 2,880 hektar yang turut mengandungi empat tasik takungan bekalan air dan Zoo Singapura.
Dalam pada itu ketika dihubungi Channel NewsAsia, pihak Penguasa Makanan Pertanian dan Ternakan Singapura menyatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang maklum balas penduduk tentang insiden aneh tersebut.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA