KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dihukum penjara empat bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memecah masuk rumah seorang suri rumah, empat tahun lepas.
Majistret Saifulakmal Said menjatuhi hukuman itu terhadap Abdul Rahim Almukhshie Ramdzan, 20, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap iaitu 10 Mac 2016.
Dia didakwa memecah masuk rumah Rozita Abd Rahman, 53, dengan cara mengumpil tingkap sisi rumah dan mencuri barangan peribadi bernilai RM9,470.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Damai Rasa 7, Alam Damai, Cheras, di sini antara 12.35 tengah hari hingga 3.10 petang, pada 5 Julai 2012 mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14tahun dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam serta mengambil kira keseriusan kesalahan tersebut.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam serta mempunyai rekod jenayah lampau, antaranya kes curi, merayu mahkamah mengurangkan hukuman kerana telah menyesal dengan perbuatannya itu. – BERNAMA