ALOR SETAR – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua maut dipercayai akibat terjerut pada jaring buaian di rumahnya di Kampung Alor Kumbang, Bukit Jenun, Pendang semalam.
Mangsa Nur Syahirah Mustafa, 14, sebelum itu dikatakan sedang bermain buaian yang digantung pada tiang di depan rumahnya bersama anak saudaranya yang berumur setahun.
Kakak mangsa Norliza Mustafa, 37, berkata kira-kira pukul 4.50 petang adiknya membawa masuk anak lelakinya itu ke dalam rumah kerana kanak-kanak tersebut menangis sebelum adiknya keluar semula bermain buaian.
“Selang 40 minit kemudian, bapa saudara saya masuk ke dalam rumah dan memaklumkan adik saya terjerut di jaring buaian.
“Saya keluar melihat keadaannya sebelum kami membawanya ke Hospital Yan di mana adik saya disahkan telah meninggal dunia,” katanya di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.
Norliza berkata pada hari kejadian adiknya tidak ke sekolah kerana sekolah ditutup akibat cuaca panas.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu.
“Bapa saudara mangsa yang tinggal bersebelahan rumah mangsa dilapor cuba mengejutkan mangsa yang disangkakan sedang tidur di buaian. Namun mangsa yang dikejutkan beberapa kali tidak juga bangun.
“Mangsa dijumpai dalam keadaan terduduk di buaian dan kemudian dihantar ke hospital dan doktor memberitahu terdapat kesan jerutan di leher mangsa,” katanya.
Beliau berkata punca sebenar kematian mangsa sedang disiasat. – BERNAMA