SINGAPURA – Apabila merancang percutian, golongan wanita Singapura lebih suka memilih tarikan semula jadi berbanding membeli-belah, demikian menurut tinjauan yang dikeluarkan oleh TripAdvisor awal minggu ini.
Agensi perundingcara pengembaraan antarabangsa itu berkata, hampir tiga suku atau 72 peratus pelancong wanita Singapura yang ditinjau berkata, mereka lebih menimbangkan tarikan semula jadi di sesebuah negara dikunjungi.
Ini termasuk taman-taman negara dan air terjun – faktor utama apabila merancang percutian, manakala kurang daripada separuh responden menimbangkan untuk beli-belah sebagai sesuatu yang penting ketika melancong.
Ini bermakna mereka amat cenderung kedekut berbelanja besar berbeza dengan pelancong wanita dari Malaysia siap habis berborong sakan apabila berkunjung ke sesebuah negara yang terkenal produk popular harga murah.
Dalam pada itu, kaum Hawa Singapura – dan responden Asia yang lain secara amnya – juga cenderung memilih penerbangan jarak dekat untuk destinasi percutian, lapor stesen penyiaran milik pemerintah, Channel NewsAsia.
Satu daripada tiga responden pelancong wanita Singapura akan memilih Jepun sebagai destinasi pilihan utama yang dirancang untuk dikunjungi pada tahun ini, disusuli oleh jiran terdekatnya, Malaysia dan Thailand.
Indonesia menduduki tempat keempat sementara Australia di tempat kelima. Tinjauan juga menunjukkan bahawa wanita Singapura menyumbang dari segi kewangan bagi percutian mereka dan terlibat merancang percutian.
Hampir separuh mengatakan mereka buat keputusan berkaitan tempahan percutian dan satu daripada lima yang ditinjau bayar sepenuhnya percutian peribadi sebelum ini – termasuk sesiapa yang melancong bersama mereka.
Tinjauan oleh TripAdvisor tersebut, yang dijalankan dari 15 Februari sehingga 3 Mac tahun ini, melibatkan 2,846 responden wanita serantau, termasuk dari Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, China, India dan Jepun.
Pengarah Komunikasi APAC TripAdvisor, Janice Lee Fang berkata: “Amat menggalakkan lihat pelancong wanita ‘keluar’ daripada stereotaip dan bukan setakat mereka mengetuai perancangan percutian dan proses tempahan.
Meskipun begitu, tinjauan agensi tersebut juga mendapati tidak semua wanita Singapura berani berdikari jika pergi melancong di luar negara berbanding dengan kaum wanita di negara-negara lain di rantau Asia tenggara ini.
Wanita Singapura malah berada di kedudukan kedua dari bawah dengan hanya tujuh peratus, selepas responden dari India cuma tiga peratus; melaporkan pernah melancong secara bersendirian pada percutian sebelum ini.
Sebagai perbandingan, TripAdvisor mendapati bahawa pelancong wanita Jepun adalah lebih berani, dengan satu daripada lima wanita negara tersebut pernah melancong sendirian pada percutian mereka yang sebelum ini.
Secara keseluruhannya, pelancong wanita Asia, termasuk rakyat Singapura, berasa melancong memberikan kesan positif ke atas hidup mereka, dengan 68 peratus berkata percutian membantu mereka belajar tentang dunia.
Aktiviti percutian juga lebih membuka minda terhadap pembelajaran dan mencuba perkara baharu (61 peratus) serta mengubah cara pemikiran dan gaya hidup mereka sendiri (56 peratus). - Agensi/Mynewshub.cc/HAA