LENGGONG – Seorang pemandu lori cedera tersepit selepas lori tiga tan dipandunya terbabas berhampiran sebuah restoran di Jalan Lenggong-Gerik, dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong Anuar Mohd Saff berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.20 pagi sebelum mengerahkan sepasukan tujuh anggota ke tempat kejadian.
Katanya setibanya anggota bomba di tempat kejadian didapati pemandu lori Lee Men Oh, 53, tersepit di tempat duduknya.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 35 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Anuar berkata mangsa dibawa ke Hospital Gerik bagi mendapatkan rawatan. – BERNAMA