JELEBU – Isu berkaitan mana-mana pemimpin UMNO yang menandatangani Deklarasi Rakyat dan bersekongkol dengan pembangkang akan dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi (MT) parti sebelum sebarang tindakan diambil.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata keputusan mesti dibuat secara rasional dan mengikut kaedah yang ada di dalam parti.
“Saya percaya perkara ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi dan Majlis Tertinggi akan meneliti dari sudut perlembagaan, peraturan dan undang-undang berdasarkan kes-kes sebelum ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Berkelompok UMNO Cawangan, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Jelebu 2016 di sini, malam tadi.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan anggota parti bersama pembangkang dan menurunkan tandatangan ‘deklarasi rakyat’ yang antara lain mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur.
Semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada MT dan Jawatankuasa Disiplin untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan pembangkang.
Ahmad Shabery berkata berdasarkan pertemuaannya dengan pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian, rata-rata menggesa agar tindakan diambil. – BERNAMA