KUALA LUMPUR – Beberapa persatuan pengusaha syarikat pengawal keselamatan menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan warga Sri Lanka bekerja dalam sektor perkhidmatan itu.
Walaupun keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan pasaran baharu itu adalah sesuatu yang baik tetapi Sri Lanka bukan pilihan utama kerana ada beberapa isu lain yang perlu ditangani pihak berkenaan.
Penasihat Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Shaheen Mirza Habib berkata, langkah Jabatan Imigresen untuk membanteras pekerja asing tanpa izin (Pati) bekerja sebagai pengawal keselamatan adalah dialu-alukan.
Katanya, industri berkenaan sedang bersiap sedia untuk meningkatkan skala gaji pengawal keselamatan yang sah antara RM900 kepada RM1,000 pada Julai ini.
“Operasi yang dijalankan akan memastikan pihak terlibat mematuhi peraturan, bukannya terus menggaji Pati kerana kos lebih murah,” katanya.
Shaheen mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai tindakan untuk tidak hanya membenarkan rakyat Nepal sebagai sumber utama pengawal keselamatan tetapi membukanya kepada warga Sri Lanka.
“Rakyat Nepal bekerja sebagai pengawal keselamatan di pasaran tempatan adalah mencukupi, cuma kerajaan perlu memastikan tiada lagi Pati yang memenuhi operasi kawalan keselamatan sebelum membuka pasaran baharu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kawalan Keselamatan Profesional Asia dan PPKKM, Datuk Seri Mustapa Ali berkata, pihaknya menganggap Bangladesh dan Pakistan adalah negara sumber yang lebih sesuai untuk pengawal keselamatan.
“Kami tidak setuju dengan Sri Lanka sebenarnya, sebaliknya mencadangkan Bangladesh dan Pakistan kerana ada di kalangan rakyat negara ini yang sudah bekerja di negara ini,” katanya.
Antara 2014 dan 2015, KDN membatalkan lesen 40 syarikat kawalan keselamatan dan mengeluarkan notis amaran terakhir kerana pelbagai keselamatan termasuk menggaji Pati sebagai pengawal keselamatan. – mStar Online