AMSTERDAM  Ketika penjara di negara-negara lain sibuk dengan peningkatan angka tahanan penjenayah sehingga terpaksa membina banyak penjara baharu, hal sebaliknya berlaku di Belanda, lapor media tempatan.
Di negara Oranje itu, angka pesalah yang dijatuhi hukuman penjara terus menurun sehingga jumlah penjahat tidak lagi cukup ‘memadai’ untuk mengisi bilik kurungan penjara di seluruh Belanda sejak akhir-akhir ini.
Kementerian Kehakiman Belanda pada 21 Mac mengeluarkan data terkini memaparkan unjuran angka banduan di negara berkenaan turun konsisten sebanyak 0.9 peratus setiap tahun sehingga tempoh lima tahun ke hadapan.
Hasilnya, satu pertiga daripada 13,500 sel penjara di seluruh Belanda tidak terisi dengan banduan baharu sekali gus memberi gambaran bahawa sekurang-kurangnya lima buah penjara akan ditutup akibat tiada penghuni.
“Sejumlah 19 penjara ditutup selain sepertiga daripada sel penjara dijangka langsung kosong, dan keadaan ini akan terus bertambah,” kata Jaap Oosterveer, jurucakap Kementerian Kehakiman Belanda kepada pihak media.
“Dari sudut pandang sosial, tentu sahaja, hal ini sangat bagus kerana menunjukkan angka kejahatan yang rendah. Namun, jika anda sedang bekerja di penjara, ini sebenarnya bukanlah satu berita gembira,” tambah Oosterveer.
Situasi tersebut malah sangat dibimbangi Kesatuan Pegawai Penjara Kebangsaan (FNV) dan organisasi ini menjangkakan hampir 1,900 petugas terutama warden insitusi pemulihan itu bakal kehilangan pekerjaan.
Manakala pada masa sama, sekitar 700 pekerja FNV akan menjadi staf mobile atau perlu mudah berpindah-randah kerana mereka harus boleh bekerja di beberapa buah penjara yang kurang banduan sekali gus.
Kerajaan Belanda sebenarnya tidak berdiam diri untuk mencari penyelesaian susulan masalah kekurangan tahanan bahkan sudah pun bertindak “menyewakan” penjaranya untuk banduan dari Belgium dan Norway.
Ketika ini Belanda menjadi tempat untuk seramai 300 pesalah yang berasal Belgium yang sudah dikurung di penjara Tilberg sementara 240 banduan dari Norway kini ditampung di penjara Nogerhaven, di kota Drenthe.
Pengarah Penjara Belanda, Karl Hillesland memberitahu stesen televisyen RTV Drenthe, ada ramai lagi banduan ‘beratur’ untuk masuk ke penjara Drenthe susulan kejayaan penayangan sebuah filem promosi di Norway.
Bagaimanapun, langkah menyewakan penjara ini tidak menyelesaikan “masalah utama”, iaitu penurunan kadar jenayah yang menyaksikan lebih banyak penutupan penjara utama dan pusat tahanan sementara di Belanda.
Menurunnya jumlah banduan mungkin juga disebabkan oleh populasi rendah warga Belanda yang semakin ramai menua sehingga hampir tidak mungkin melakukan kejahatan serius yang boleh disabitkan hukuman penjara.
Selain itu, kebelakangan ini sistem perundangan Belanda lebih fokus untuk tidak mendakwa pesalah yang tidak menyebabkan kematian lebih kepada pemulihan, kesalahan ringan dan program kembali dengan masyarakat.
Salah satu penjara paling ‘keras’ di Belanda, Het Arresthuis, di Roermond, dekat sempadan dengan Jerman, kini malah sudah langsung berubah bentuk daripada asalnya sebuah bangunan yang pernah sangat ditakuti penduduk.
Ia kini sudah diubah menjadi hotel mewah. Margje Spatjens, jurucakap hotel itu, menyatakan, jika ada penjara lain yang bakal tutup, maka pihaknya sudah memiliki pengalaman untuk mengubahnya menjadi sebuah hotel.
“Reaksi dari para pelanggan secara umumnya sangat positif, mesti beberapa pelanggan berasa agak was-was,” ujar Margje. Namun, seorang anggota parlimen Belanda, Nine Kooiman ada pandangan yang agak jauh berbeza.
Beliau mendakwa, kosongnya penjara-penjara di Belanda kononnya disebabkan pihak polis tempatan kini semakin malas lagi hendak menangkap penjenayah dan lebih sanggup membiarkan sahaja jenayah bermaharajalela.
“Jika pemerintah benar-benar bekerja menangkap orang jahat, kita tidak akan menghadapi masalah kekurangan bandunan sehingga memaksa banyak penjara ditutup dan warden pula terpaksa menganggur,” ujar Kooiman.
Ketua FNV, Frans Carbo bagaimaapun mempunyai teori lain. Menurut beliau, institusi yang paling bertanggung jawab atas masalah ini sebenarnya ialah Kementerian Kehakiman, bukannya kegagalan daripada pihak polis.
“Kementerian melakukan apa-apa pun untuk menurunkan angka kejahatan di Belanda, sebahagian penyebabnya adalah populasi penduduk negara ini yang semakin ramai menua dan kurang pula generasi muda,” ujar beliau.
“Kementerian sebetulnya sudah cantas dan susun semula seluruh rantaian sosial. Ini dimulai dengan gagalnya penyusunan kembali polis yang menyebabkan kualiti mereka tidak sebaik seperti zaman dulu,” jelas Carbo lagi.
“Penjara adalah di hujung rantaian, dan langsung merasakan kesan dengan kosongnya sel-sel penjara. Pada 2013, pihak kerajaan memangkas anggaran bajet yang menyebabkan penutupan 19 buah penjara,” tambah beliau.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA