PETALING JAYA – Para penulis muda tempatan diseru supaya lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam menghasilkan karya agar tidak menjejaskan identiti bangsa serta bahasa Melayu, kata presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa.
Melihat perkembangan penulis muda tempatan sebagai situasi luar biasa, bagi Zambri penulis khususnya golongan yang menggelarkan diri sebagai penulis ‘indie’ perlu memikirkan kesan buruk penulisan yang dihasilkan terhadap generasi akan datang.
“Saya akui penulisan indie lebih ‘genuine’ (asli), tulus dan banyak berkisarkan mengenai kehidupan realiti. Bagaimanapun mereka perlu peka mengenai kesesuaian bahasa yang digunakan dengan mengurangkan bahasa yang tidak sepatutnya memandangkan majoriti pembaca adalah remaja,” katanya kepada Bernama selepas program Kupas Buku di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Seri Md Salleh mengenai kebimbangan DBP terhadap sesetengah penulis muda yang terpengaruh dengan karya ‘indie’ yang dilihat merosakkan bahasa dan jati diri bangsa Melayu.
Menurut Wikipedia, indie merupakan singkatan berbahasa Inggeris ‘independent’ yang bermaksud bebas atau merdeka, dengan hasil karya seninya adalah di luar arus perdana yang komersial.
Justeru, Zambri berkata beliau bakal mengatur satu perbincangan meja bulat bersama penulis-penulis muda dalam masa terdekat bagi membincangkan cara untuk memperkembangkan bakat penulis-penulis muda ini ke peringkat lebih tinggi.
Mengenai program Kupas Buku, katanya dua individu terpilih akan mengulas buku yang dibaca sama ada buku berbahasa Melayu atau Inggeris serta berkongsi pendapat mengenainya bersama-sama orang ramai.
“Program ini bertujuan bagi mewujudkan semangat cinta akan buku dalam diri masyarakat khususnya golongan muda Melayu di negara ini yang didapati kurang membaca buku,” katanya.
Kupas Buku dengan kerjasama kedai buku Borders, Yayasan Kampung Buku Malaysia dan MySuara TV ini diadakan hari Ahad, setiap minggu ketiga pada setiap bulan di Borders, The Curve, Mutiara Damansara.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati di laman Facebook rasmi GPMS. – BERNAMA