IPOH – Polis Ipoh kini giat mengesan orang awam yang bertanggungjawab memukul sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba memecah masuk sebuah rumah di Lebuh Rapat Baru 16B, Taman Lapangan Indah di sini Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata Chiong Weng Keong, 37, meninggal dunia pukul 5.30 pagi semalam di Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat kecederaan serius di kepala.
Ketika dihubungi Bernama hari ini, Sum berkata mangsa meninggal dunia selepas koma tiga hari.
“Dalam kejadian Isnin lepas, mangsa cuba pecah masuk sebuah rumah bersama seorang rakan, tetapi mangsa ditangkap dan dipukul oleh orang awam manakala rakannya sempat melarikan diri,” katanya.
Selain giat mengesan orang awam yang bertanggungjawab terhadap kematian itu, polis juga sedang menjejak rakan mangsa yang melarikan diri.
Sum berkata pihak forensik polis telah pergi ke tempat kejadian dan menemukan seketul batu kecil yang mempunyai kesan darah. – BERNAMA