KOTA BHARU – Polis menahan dua lelaki dan merampas sepucuk pistol dalam satu sekatan jalan raya berdekatan kawasan Hentian Rehat dan Rawat Kampung Gemang, Jeli, semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dua lelaki berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan ketika mereka menaiki sebuah kereta di sekatan jalan raya itu pada 3.25 pagi.
“Apabila anggota kami mahu melakukan pemeriksaan, kedua-dua suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan sebelum anggota kami berjaya menahan suspek terbabit,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Mazlan berkata pemeriksaan terhadap kereta tersebut menemui sepucuk pistol jenis .38 bersama 10 butir peluru hidup serta 19 biji pil kuda (methamphetamine).
Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dan penyeludupan daun ketum.
Kedua-dua suspek itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.
Ditanya mengenai kes tiga tahanan polis yang melarikan diri di Balai Polis Pasir Mas pada Jumaat lepas, Mazlan berkata pihaknya sudah menahan dua orang, manakala seorang lagi masih bebas.
Tiga tahanan itu melarikan diri dari Balai Polis Pasir Mas selepas mereka pulang daripada mahkamah pada petang Sabtu.
Mereka yang berusia 20, 30 dan 31 tahun itu ditahan berkaitan kes dadah. – BERNAMA