IPOH – Program Satu Sekolah Satu Silat dijangka mula dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan bulan depan sebagai usaha untuk memperkenalkan seni pertahanan diri itu kepada pelajar.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata pihaknya yakin langkah tersebut akan dapat memastikan seni persilatan tersebut terus subur di negara ini.
Malah, katanya ia juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada September lalu yang mengiktiraf silat sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara.
“Hari ini kita tengok silat telah mendapat tumpuan orang bukan Melayu sebagaimana kita (Melayu) meminati taekwondo dan karate,” katanya ketika merasmikan program pemimpin turun ke gelanggang silat peringkat Perak di sini malam Ahad.
Ali berkata sejajar dengan pengiktirafan kerajaan terhadap seni silat, maka lebih banyak universiti disaran menjadikan persilatan sebagai kokurikulum berpersatuan mereka.
Ali berkata setakat ini hanya Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjadikan Seni Silat Cekak Malaysia sebagai kokurikulumnya dengan menawarkan enam jam kredit pengajian.
“Saya berharap lebih banyak universiti mengikut jejak USM kerana kebangkitan pesilat begitu ketara. Ia perlu ditonjolkan ke seluruh dunia,” katanya.
Beliau menarik perhatian apabila berkata satu perhimpunan bagi persatuan silat seluruh negara akan diadakan di Kuala Lumpur pada 14 Mei yang dijangka dihadiri kira-kira 200,000 pesilat.
“Macam-macam acara kita akan adakan termasuk persembahan pelbagai jenis silat serta pameran pakaian dan peralatan silat,” katanya sambil menambah ketika ini terdapat kira-kira empat juta pesilat di seluruh negara. – BERNAMA