KEPUTUSAN Liga Premier lewat Selasa menyaksikan Melaka United menentang Negeri Sembilan di Stadium Hang Jebat di Melaka berkesudahan dengan keputusan seri iaitu hanya kosong berbalas kosong.
Namun apa yang menggemparkan ketika sesi perlawanan memasuki fasa minit-minit terakhir adalah pergaduhan tercetus antara dua kelompok negeri berjiran membabitkan penyokong tuan rumah dan pelawat.
Dikatakan provokasi yang melampau antara kedua-dua penyokong ini ketika perlawanan memasuki minit ke-70 mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan sesama mereka.
Jelas kelihatan insiden tolak-menolak diikuti beberapa penyokong bergelut sesama mereka di bahagian kanan belakang gol pasukan Negeri Sembilan itu kelihatan sukar dikawal.
Namun, pergaduhan ala samseng hooligan itu berjaya dikawal oleh pasukan keselamatan yang bertugas sewaktu perlawanan sedang rancak berlangsung dan berakhir dengan aman.
Situasi kembali tegang apabila penyokong Negeri Sembilan tidak dibenarkan untuk meninggalkan stadium selepas kemarahan penyokong tuan rumah belum reda dan mendakwa mereka dikasari.
Dalam kejadian penuh dramatik tersebut, sebilangan penonton dikatakan tercedera ekoran perbuatan khianat dalam kalangan penyokong itu sendiri yang bertindak melontar objek keras.
Sehubungan itu, kira-kira 100 penyokong Negeri Sembilan terpaksa dikumpulkan setempat di dalam stadium tersebut ketika pasukan keselamatan cuba berusaha mengawal keadaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah yang berada di tempat kejadian turut mengerahkan anggotanya bagi mengesan pelaku dalam insiden terbabit.
Sekitar pukul 12.30 tengah malam, pihak polis dilaporka berjaya mengawal keadaan dan para penyokong pelawat diiring keluar daripada stadium dengan bas. –MYNEWSHUB.CC
Pergaduhan penyorak Negeri Sembilan Dan… oleh mynewshub