KUANTAN – Remaja perempuan yang pernah hilang selama tiga hari pada Julai 2012, berjaya memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015.
Zuhairatul Jannah Md Zulkifli, 18, dari Maahad Tahfiz Pahang di sini, dilaporkan hilang semasa di Tingkatan Dua, selepas menunaikan solat Subuh di surau maahad berkenaan.
Beliau dikatakan hilang pada pagi 8 Julai 2012, dan kemudian ditemui sedang tidur oleh beberapa penduduk di Masjid Sungai Mulia dekat Gombak, Selangor dalam keadaan selamat, sebelum dibawa ke Rumah Perlindungan Sungai Mulia untuk diberi bantuan.
Zuhairatul Jannah berkata peristiwa berkenaan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mendapat keputusan cemerlang.
“Saya sudah bergerak ke hadapan dan melupakan peristiwa itu. Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya terjadi ketika itu, dan ia tidak sesekali menghantui saya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Zuhairatul Jannah, anak bongsu daripada sembilan beradik, berkata kunci kejayaannya adalah menjaga hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia termasuk ibu bapa dan guru-guru.
“Saya baik dengan semua orang dan cuba menyenangkan mereka yang berada di sekeliling saya termasuk kawan-kawan, dan apabila hubungan ini baik ia memberi semangat kepada saya untuk berjaya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata amalan menghafaz al-Quran pada waktu pagi setiap hari, juga merupakan faktor kejayaannya kerana ayat-ayat suci al-Quran mampu menjadi penerang hati dalam menuntut ilmu.
Zuhairatul Jannah yang sudah menghafaz 30 juzuk Al-Quran, berkata beliau bercita-cita menjadi akauntan dan merancang menyambung pengajian dalam bidang perakaunan di Australia. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]wJXNRMqVR4k[/wpdevart_youtube]