GEORGE TOWN – Semua sekolah di Kedah dan Perlis diarah untuk ditutup mulai esok (31 Mac) ekoran cuaca panas melebihi 37 darjah Celsius yang dicatat pada Rabu (30 Mac), susulan fenomena El Nino.
Sekolah di Perlis diarah untuk tutup selama dua hari sehingga 1 April sementara sekolah di Kedah pula hanya sehari kerana Jumaat kebetulan merupakan hari cuti mingguan bagi negeri Jelapang Padi tersebut.
“Sesi pengajaran dan pembelajaran tidak perlu diganti,†kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid selepas lawatan kerja di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang di Bukit Jambul, di sini hari ini.
Ini merupakan kali kedua dalam masa dua minggu untuk bulan ini sahaja semua sekolah di dua buah negeri berjiran di utara Semenanjung Malaysia tersebut selepas ditutup juga selama dua hari pada 22 Mac lalu.
Keputusan itu diambil setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Kesihatan susulan suhu melebihi 37 darjah Celsius.
Penutupan operasi tersebut hanya melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah berkenaan. Bagaimanapun, guru-guru dan kakitangan pentadbiran masih lagi perlu hadir ke sekolah seperti biasa.
Pihak Kementerian Pendidikan juga akan terus memantau keadaan terkini cuaca panas di negeri-negeri lain dan dijangka membuat pengumuman lanjut berdasarkan kepada keadaan semasa.
Berdasarkan garis panduan prosedur operasi standard, sekolah di sesuatu kawasan hanya akan diarahkan tutup jika suhu didapati melebihi 37 darjah Celsius selama lebih 72 jam berturut-turut.
Malaysia kini mengalami cuaca panas selain kering disebabkan fenomena El Nino dan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun depan.
- Agensi/Mynewshub.cc/HAA