KUMPULAN Sheila On 7 (So7) yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu kini bakal tampil dengan konsert Sheila On 7 20th Anniversary – Live Concert in Malaysia 2016.
Acara tersebut bakal diadakan Ahad ini di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur sebagai hadiah istimewa buat peminat setia mereka di sini.
So7 yang dianggotai Duta, Eross, Adam dan Brian dijangka menghiburkan peminat setia mereka digelar Sheila Gank menerusi konsert yang bertemakan Teman, Sahabat & Cintaku yang dianjurkan Mawlaya Network Sdn Bhd.
Menurut jurucakap penganjur, Aida Husin, So7 dilihat sebagai sebuah kumpulan muzik yang membawa imej positif menerusi penghasilan karya lagu-lagu mereka.
“Pemilihan kumpulan ini dibuat berdasarkan attitude yang baik, penampilan yang kemas dan yang lebih penting lagi melalui lagu-lagu mereka yang mempunyai mesej yang baik,” katanya.
So7 memulakan karier mereka pada tahun 1996 dengan dua lagi bekas anggota kumpulan iaitu Sakti dan Anton.
Zaman kegemilangan So7 menyaksikan album mereka laris terjual dan seleksi lagu seperti Dan, Sephia, Seberapa Pantas dan Melompat Lebih Tinggi kerap kali diputarkan di corong-corong radio.
Bermula dengan album berjudul Sheila On 7 yang dikeluarkan pada tahun 1999 kemudiannya mereka terus meledak denga penghasilan album kedua, Kisah Klasik Untuk Masa Depan yang diterbitkan setahun selepas itu.
Untuk bersama-sama merasai cinta yang bakal dijayakan So7 dalam konsert mereka ini, peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM75, RM110, RM150 dan RM190 di cawangan Rock Corner dan Victoria Music seluruh negara atau menerusi laman web www.ilassotickets.com.
Sebanyak 10 peratus diskaun potongan harga diberikan kepada pelajar dengan hanya menunjukkan kad pelajar menerusi pembelian di cawangan Rock Corner dan Victoria Music.
Konsert itu nanti akan diwarnai dengan persembahan pembukaan daripada Noh Salleh dan Ristoe Ibu Band. – MYNEWSHUB.CC