CYBERJAYA – Kesibukan menyertai pasukan orkestra sekolahnya tidak menghalang Izzatul Munirah Ismail cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015.
Pelajar Sekolah Seri Puteri ini memperoleh 9A+ walaupun sering sibuk berlatih dengan Seri Puteri Symphonic Winds.
“Guru muzik kami seorang yang tegas dan mahukan yang terbaik untuk pasukan kami, lebih-lebih lagi kami sering terlibat dalam pelbagai pertandingan di luar negara malah pada hari peperiksaan pun, kami perlu berlatih,” katanya.
Anak bongsu dari empat beradik ini mempunyai masa yang terhad kerana sering terlibat dengan aktiviti kokurikulum berbanding rakan-rakannya yang lain, namun dia tidak mengabai untuk mengulang kaji pelajaran ketika berada di asrama.
“Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan berterima kasih kepada guru-guru yang berkorban masa mengajar saya dan rakan-rakan sehingga ke tahap ini. Tak lupa kepada rakan seperjuangan yang lain yang sama-sama berusaha untuk peperiksaan ini,” katanya.
Izzatul Munirah yang merupakan penerima Biasiswa Yayasan Khazanah kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat A-Level di Kolej Yayasan UEM, Kuala Kubu Baru, Selangor.
“Saya kini merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains aktuari,” katanya.
Sekolah Seri Puteri memperoleh kedudukan pertama dalam SPM 2015 bagi keseluruhan sekolah di Selangor dan ketiga peringkat Sekolah Berasrama Penuh.
Seramai 83 orang daripada 172 pelajarnya memperoleh semua A, peningkatan sebanyak 16.93 peratus berbanding 52 calon yang memperoleh semua A pada SPM 2014. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]j2UHrATYryo[/wpdevart_youtube]