KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) membantah hukuman mati yang dikenakan ke atas Gunasegar Pitchaymuthu, 35, Ramesh Jayakumar, 34, dan Sasivarnam Jayakumar, 37, kerana kesalahan membunuh.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, Suhakam kesal dengan keputusan mahkamah tersebut kerana pada November 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri pernah mengumumkan kerajaan sedang memuktamadkan cadangan menghapuskan hukuman mati mandatori.
“Lebih dua pertiga daripada negara-negara di dunia telah memansuhkan hukuman mati dalam undang-undang atau amalannya.
“Hukuman mati mandatori melanggar hak asasi untuk hidup kerana ia merupakan suatu kehilangan sewenang-wenangnya hak untuk hidup, yang menafikan hakim dari menggunakan budi-bicara dan mempertimbangkan semua faktor kes termasuk mengambil kira fakta kesalahan atau ciri-ciri setiap pesalah individu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tiga individu terbabit dijatuhi hukuman mati selepas didapati salah oleh mahkamah tinggi kerana membunuh seorang lelaki berusia 25 tahun pada 2005.
Suhakam dan pemimpin pembangkang antara pihak yang lantang membantah hukuman bunuh dilaksanakan ke atas mana-mana pesalah jenayah di Malaysia.
Hasmy berkata, setiap pesalah dihukum mati tanpa mengira faktor mitigasi yang dapat meringankan hukuman.
Justeru, katanya, Suhakam mengesyorkan satu moratorium ke atas hukuman mati dilaksanakan sekurang-kurangnya bagi menunjukkan penghormatan terhadap maruah manusia dan juga demi peningkatan dan pembangunan progresif hak asasi manusia di Malaysia. – mynewshub.cc