TAHNIAH kepada Syahrul Ridzwan atau nama sebenarnya Mohd. Saharul Ridzwan Hashim, 27, yang baru sahaja memenangi Anugerah Aktor Hero Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016).
Syahrul turut memenangi anugerah Pasangan Pilihan bersama Janna Nick menerusi lakonan mereka dalam drama Kau Aku Kita.
Dalam komennya tentang drama yang mendapat rating tinggi itu, Syahrul menyatakan dia sangat senang berlakon bersama Janna walaupun terdapat jurang umur yang agak jauh antara mereka.
Walaupun dalam drama tersebut dia dan Janna kelihatan serasi bersama di mata penonton, Syahrul menjelaskan pendiriannya yang berpendapat percintaan di set penggambaran boleh menjejaskan keserasian pelakon.
“Saya berasa selesa dengan Janna Nick, dia seorang pelakon yang hebat dan sangat senang untuk bekerja bersamanya. Untuk menjiwai watak saya sering mengusik Janna dan dia boleh terima usikan saya. Dia sangat professional,” katanya.
Sheila Rusli yang merupakan mentor kepada Syahrul turut menyokong, mereka berdua sangat profesional apabila berada di lokasi penggambaran.
“Mereka berdua sangat profesional bila berada di lokasi. Bagi saya ini kerana mereka tidak mempunyai hubungan cinta lokasi yang mungkin akan menimbulkan konflik,” ujarnya.
Selain itu, Syahrul memberitahu dia telah meletakkan beberapa syarat apabila mahu bergandingan dengan pelakon wanita.
“Saya berubah secara perlahan-lahan, tidak mahu adegan berpelukan. Untuk drama Kau Aku Kita banyak camera trick dan benda berlapik digunakan. Proses edit juga dilakukan dengan baik, mungkin sebab itu drama ini menang,” katanya. - MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=9eGC5BMNYaQ]