KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu akan mewujudkan premis perniagaan T-Mart bagi membantu memasarkan produk usahawan tempatan di luar Terengganu dan juga negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, untuk permulaan premis itu akan dibuka di Bangunan Yayasan Terengganu di Kampung Baru di sini.
Katanya, ramai usahawan Terengganu menghasilkan produk berkualiti tetapi menghadapi masalah memasarkannya, terutama di luar Terengganu.
“Ada pelbagai produk yang mempunyai permintaan tinggi di luar Terengganu.
Untuk itu, usahawan akan menghasilkan produk dan kerajaan negeri akan membantu memasarkannya,” katanya kepada Bernama.
Katanya T-Mart di Kampung Baru akan beroperasi setelah proses pengubahsuaian dijalankan tidak lama lagi.
“Apabila proses itu siap, kita akan masukkan barangan dari Terengganu sahaja. Kita ada banyak produk. Lepas berjaya di Kuala Lumpur, kita akan kembangkan ke negeri-negeri lain,” katanya.
Ahmad Razif berkata, kerajaan turut merancang bagi membuka T-Mart di luar negara, iaitu di Mesir di mana kerajaan Terengganu mempunyai bangunan sendiri di Mansoura.
“Kita sudah ada tempat di Mansoura. Kita juga sudah meminta pelajar kita di Mesir untuk menubuhkan koperasi. Maidam (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu) sudah bersetuju untuk membantu dengan beri peruntukan,” katanya.
Katanya, pelbagai inovasi telah dibuat pada beberapa produk Terengganu seperti keropok lekor dan nasi dagang, yang dijadikan produk sejuk beku.
“Seperti nasi dagang, kita dah ada empat jenis produk sejuk beku. Ketika ini belum sampai ke Kuala Lumpur lagi. Insya-Allah, sebulan dua lagi kita akan keluarkan di pasaran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, Pavilion Terengganu akan diwujudkan di Shanghai, China tidak lama lagi bagi mempromosi dan menjual produk usahawan Terengganu. – BERNAMA