LUMUT – Kecekapan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dipertingkat apabila dijadual menerima kapal ‘littoral combat ship’ (LCS) pertama pada 2019, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata dengan adanya kapal tempur persisir buatan tempatan dan yang terbesar di Malaysia itu, TLDM mampu meningkatkan keupayaan tempur daripada empat kapal kombatan kepada 10 buah.
“Dengan peningkatan keupayaan lebih dua kali ganda ini, pastinya akan lebih banyak operasi yang akan dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan sekali gus meningkatkan kecekapan pasukan kita.
“LCS berkeupayaan untuk beroperasi di perairan persisir pantai dan laut lepas untuk tempoh 21 hari tanpa penambahan bekalan,” katanya ketika berucap pada majlis peletakan lunas LCS 1 di Pangkalan TLDM di sini, Selasa.
LCS dibina di limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS) di sini.
Hishammuddin berkata pembinaan kapal tempur itu turut memberi keyakinan tinggi kepada masyarakat terhadap keupayaan syarikat dan kemahiran tempatan.
Beliau berkata LCS akan ditempatkan di beberapa kawasan penting termasuk Zon Ekonomi Eksklusif dan Kawsan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Beliau mengulangi jaminan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan dan pertahanan negara di sebalik kelembapan ekonomi global.
Dalam sidang media kemudiannya, Hishammuddin berkata dua blok apartmen di Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan TLDM di sini akan ditambah baik dengan melibatkan peruntukan RM22.5 juta.
“Pembaikan ini dijangka dimulakan pada Mei ini dan dijangka siap pada hujung tahun ini juga,” katanya.
Selain itu Hishammuddin turut mengumumkan kerajaan akan melaksanakan program perumahan untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bandar Baru Segari di sini yang melibatkan pembinaan 300 unit.
Katanya apabila siap kelak, rumah berkenaan akan dijual kepada anggota Persatuan Veteran ATM dengan harga RM100,000 seunit. – BERNAMA