KUALA LUMPUR – Pelbagai tohmahan yang dilempar terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan tindakan terdesak pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembungi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata ‘serangan’ dan tuduhan seumpama itu hanya membuktikan Najib tidak bersalah.
“Lagi banyak anda (pihak tertentu) lemparkan tuduhan, ia semakin membuktikan bahawa perdana menteri tidak bersalah kerana anda terdesak.
“Bagi saya semua ‘serangan’ ini merupakan tindakan terdesak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini bagi mengulas program Four Corners oleh Australian Broadcasting Corporation (ABC) baru-baru ini yang mengkritik kepimpinan Najib.
Bagaimanapun, Azalina yang juga anggota Parlimen Pengerang yakin rakyat negara ini khususnya anggota UMNO tidak akan tertipu dengan laporan serta kritikan seumpama itu.
Katanya pihak terbabit mempunyai agenda tersembunyi untuk menyingkirkan Najib malah laporan yang dikeluarkan itu juga bersifat tidak adil.
“Bagaimana mereka rasa sekiranya TV3 atau Astro membuat dokumentari sebegitu tentang pemimpin mereka? Bagaimana mereka rasa jika kita buat dokumentari sebegitu tentang pemimpin lain dalam ASEAN?”, katanya. – BERNAMA