Chicago – Calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terpaksa membatalkan ceramahnya di bandar ini kelmarin selepas berlaku pergaduhan dan bantahan besar-besaran.
Sebelum ceramah itu berlangsung, sekumpulan penunjuk perasaan bergaduh dengan penyokong calon dari parti Republikan berkenaan menyebabkan polis sukar mengawal keadaan.
Trump berkata, dia mengambil keputusan membatalkan perhimpunan itu selepas berbincang dengan pihak berkuasa.
Keadaan menjadi tegang beberapa jam sebelum perhimpunan itu berlangsung di kompleks sukan Universiti Illinois di sini apabila beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul bagi membantah kenyataan Trump sebelum ini.
“Saya tidak mahu melihat sesiapa cedera.
“Saya berpendapat kami membuat keputusan yang betul walaupun kebebasan bersuara kami dicabuli,†kata Trump kepada CNN.
Penunjuk perasaan yang majoritinya berkulit hitam dan etnik Latin berang dengan kenyataan retorik antipendatang Trump sebelum ini.
Mereka berkumpul di luar kompleks, tetapi beberapa penunjuk perasaan masuk dan bergaul dengan penyokong Trump.
CNN menganggarkan 8,500 hingga 10,000 penyokong berada dalam kompleks berkenaan sebelum kekecohan tercetus.
Pergaduhan tercetus sejurus penganjur mengumumkan perhimpunan itu dibatalkan dan polis bergelut untuk memisahkan penyokong dan penunjuk perasaan. – AFP/myMetro Online