TANJUNG MALIM – Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Proton City di sini hari ini.
Tuanku Zara memukul gong sebanyak tiga kali sebagai simbolik perasmian sebelum menandatangani plak perasmian NCDRC.
Selepas majlis perasmian itu, Tuanku Zara mengunjungi Taska Permata UPSI dan beramah mesra dengan kanak-kanak dan pengasuh taska yang gembira dengan kunjungan Raja Permaisuri Perak.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa dan isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Sementara itu, Zakaria dalam ucapannya berkata UPSI dipilih untuk menubuhkan NCDRC sejak September 2006 sebagai pusat rujukan kebangsaan bagi menjalankan penyelidikan berkaitan isu atau hal ehwal kanak-kanak dalam pelbagai aspek.
Selain itu, katanya NCDRC juga bertanggungjawab mewujudkan pangkalan data kanak-kanak dengan kerjasama pihak kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.
“Pangkalan data bersepadu ini menyimpan data kanak-kanak, pendidik dan taska secara menyeluruh bagi memudahkan pemegang taruh merancang dan melaksanakan program berkaitan kanak-kanak secara berstruktur dan komprehensif,” katanya.
Katanya pembentukan akhlak, adab sejak usia awal misalnya melalui kurikulum PERMATA yang digubal oleh NCDRC bersama-sama pakar pendidikan awal kanak-kanak dapat melahirkan modal insan holistik untuk masa depan.
Zakaria berkata pusat itu turut menerima pelawat dari luar negara seperti Korea, Jepun, Amerika Syarikat, Iran, Australia, Singapura dan Indonesia.
“Pelawat yang datang amat tertarik dan memuji prasarana serta pengalaman pembelajaran kanak-kanak di Taska Permata UPSI dan Tadika Bitara UPSI,” katanya. – BERNAMA