IPOH – UMNO akan menyambut ulang tahun ke-70 penubuhannya pada 11 Mei depan, satu tempoh yang menunjukkan kematangannya dalam arena politik, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata setelah ditubuhkan selama 70 tahun, ia bukan menjadikan UMNO parti yang telah tua tetapi matang.
“Matang…bukan matang sebarang matang, matang ini yang ganteng (kacak), bukan ganteng sebarang ganteng, kita hidup sejahtera jadi hulubalang yang hebat dalam UMNO,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan serentak UMNO cawangan dan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri negeri Perak di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Selari dengan usianya yang matang, Ahmad Zahid mengingatkan semua anggota UMNO agar menyanjungi pemimpin sedia ada selain menghormati pemimpin terdahulu yang banyak berjasa serta berbakti kepada parti.
Beliau berkata kesalingan antara pemimpin terdahulu dengan pemimpin sedia ada penting agar UMNO terus kuat, kukuh dan seterusnya diperkasa.
“Pemimpin dahulu kita hormati, kita sayangi dan kita sanjungi selagi mereka tak kacau kita, maka orang yang lama sayangilah pemimpin sedia ada, sayangilah kami kerana dahulu mereka naik sebab kita yang sokong.
“Mesej ini sangat jelas. Kita harus ada kesalingan kerana tidak ada yang baharu kalau tidak ada yang lama,” katanya.
Ahmad Zahid berkata UMNO Perak merupakan antara negeri yang mengamalkan kesalingan antara kepimpinan terdahulu dan sedia ada dengan cukup sempurna.
“Di peringkat pusat, saya Naib Presiden UMNO tetapi di Perak, bos saya adalah Zambry dan timbalan bos saya adalah Husni. Kalau kita tahu kedudukan kita di mana tempatnya, kita sokong siapa yang patut kita sokong, senanglah kita,” katanya. – BERNAMA