WARTAWAN penyiaran sukan di Amerika Syarikat, Erin Andrews memenangi satu tuntutan kes mahkamah selepas dirinya dirakam secara rahsia dalam sebuah bilik hotel oleh pengendapnya, Michael David Barrett.
Mahkamah mengarahkan tertuduh membayar pampasan sebanyak RM226 juta (AS$55 juta) manakala pihak hotel terbabit turut diarahkan membayar RM111 juta (AS$27) juta kepadanya.
Erin, wartawan penyiaran di saluran Fox Sports telah dirakamkan secara rahsia pada 2008 menerusi tombol pintu bilik hotelnya oleh Michael yang kemudian menyebarkan video tersebut di Internet.
Wanita berusia 37 tahun itu kemudian menulis penghargaan kepada pihak mahkamah, juri, barisan peguam yang mewakilinya, ahli keluarga dan mangsa jenayah sama, yang menyokong perjuangannya selama ini.
“Saya berasa terharu dengan sokongan yang diterima lebih-lebih daripada mangsa jenayah yang sama dialami seperti saya.
“Sokongan yang diberikan mereka memberikan saya kekuatan untuk berdiri dan melawan demi menjaga privasi dan keselamatan setiap orang di luar sana,” ujarnya.
Erin dalam tuntutan samannya menuntut tertuduh dan pihak hotel membayar pampasan RM307 juta (AS$73 juta).
Micheal, eksekutif sebuah syarikat insurans di Chicago mengakui dia menyasarkan Erin demi tujuan untuk meraih keuntungan.
Dia menyebarkan video bogel Erin selepas laman web gosip TMZ enggan membayarnya untuk video tersebut.
Susulan kesalahannya mengendap, mengubah tombol pintu bilik dan mengambil video bogel Erin, Michael turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah. – MYNEWSHUB.CC