POPULARITI yang dikecapi pelakon lelaki ini tidak gah seperti Zul Ariffin, Kamal Adli dan beberapa nama lain lagi. Namun, bagi yang penonton drama Tundukkan Playboy, pastinya kenal dengan nama Hafidz Roshdi.
Baharu beberapa tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, sudah muncul cerita kurang enak mendakwa pelakon yang semakin meningkat naik ini tidak berdisiplin kerana mempunyai sikap tidak menepati masa.
Menerusi ruangan Cik Pang dalam akhbar Harian Metro, Hafidz dikatakan datang lambat ketika sesi fotografi bersama media dan dalam satu acara drama yang dibintanginya baru-baru ini.
Difahamkan, sikap tidak bertanggungjawab Hafidz ini membuatkan pihak media bengang apabila undangan acara drama yang sepatutnya bermula 6 petang tetapi hingga 8 malam, kelibat pelakon kacak ini masih tidak kelihatan.
Apabila ditanya, Hafidz dikatakan memberi banyak alasan antaranya dalam perjalanan tetapi apabila dihubungi lagi masih lagi belum tiba.
Lebih mengecewakan, apabila sampai Hafidz dikatakan tidak membuat permohonan maaf atas kesalahannya itu.
Alahai, baru mencipta nama sudah ‘pandai’ menunjuk taring.
Rasanya, sudah acap kali kita dengar aduan dari pelakon lama perihal pelakon-pelakon baru yang mempunyai masalah disiplin masa ini. Namun, mereka langsung tidak mengambil ikhtibar mahupun berubah.
Tidak hairanlah, ada antara mereka tidak lama berada dalam industri hiburan.
Moga-moga suatu hari nanti Hafidz berubah menjadi pelakon yang lebih bertanggungjawab. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Harian Metro