SEBUAH pantai di Perancis ‘mewajibkan’ pengunjungnya berbogel semasa berada di kawasan tersebut. Pusat peranginan yang terletak di Cap d’Agde mengamalkan konsep ini dan turut dikenali sebagai ‘Naked City’ dalam kalangan penduduk dan pengunjung.
Perlakuan seumpama ini mungkin kedengaran sebagai biasa di sesetengah negara. Namun ada juga negara yang tidak boleh menerima perlakuan tersebut terutama sekali melibatkan tempat umum, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang atas perlakuan tidak senonoh.
Konsep ini bukan sahaja dipraktikkan di kawasan pantai malah turut meliputi semua kawasan atau tempat yang dilengkapi dengan kemudahan awam seperti bank, pejabat pos, pasar raya malah pendandan rambut mengamal konsep bogel tersebut.
Pelawat yang berkunjung ke ‘perkampungan bogel’ itu di dikenakan cukai atau yuran sebanyak €8 (lebih kurang RM35) sebelum memasuki kawasan itu serta dikehendaki untuk menanggalkan pakaian sepanjang berada di pantai tersebut. Tempat penyimpanan pakaian untuk pengunjung yang hadir turut disediakan oleh pihak terbabit.
Menurut news.com.au, kawasan tersebut telah dibuka oleh sebuah keluarga yang dikenali sebagai Oltra sekitar tahun 1960-an, sebelum menyedari kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi dan berjemur tanpa seurat benang.
Wujudnya ‘perkampungan bogel’ itu apabila ada dalam kalangan pelancong yang melawat perairan itu turut membina rumah sekitar kawasan tersebut, di samping beberapa kemudahan juga disediakan bagi kegunaan mereka.
Meskipun terkenal dengan aktiviti bogel di sepanjang pusat peranginan itu, namun kawasan tersebut mengutamakan konsep ‘mesra keluarga’ dan tidak membenarkan sebarang perlakuan atau aktiviti lucah terhadap mana-mana pengunjung.
Bagi pengunjung yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan, mereka akan dikenakan hukuman penjara dan denda sebanyak €15,000 (kira-kira RM66,532). – MYNEWSHUB.CC