KUALA LUMPUR – Dua pelajar sekolah menengah dipercayai menjadi mangsa kesilapan identiti setelah tersepit dalam pertelingkahan beberapa kumpulan pelajar sekolah dan individu di Jalan Wangsa Siaga di sini.
Dalam kejadian pukul 2 petang 7 April, kedua-dua pelajar berkenaan menaiki motosikal dalam perjalanan pulang dari sekolah bertembung dengan beberapa kumpulan tersebut, yang kebanyakan mereka menaiki motosikal.
Pelajar terbabit tiba-tiba dikejar lalu diserang oleh kumpulan samseng tersebut, yang menggunakan batang kayu, topi keledar dan batang besi sebagai senjata mereka.
Beberapa penduduk setempat, yang kebetulan menyaksikan kejadian itu tampil membantu mereka dan memaklumkan polis. Polis tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata: “Akibat serangan itu, dua pelajar mengalami kecederaan di kepala dan mereka dibawa ke Hospital Ampang.”
Susulan kejadian itu, polis menahan 12 individu di tempat kejadian semalam, manakala empat lagi ditahan hari ini, dan kesemua mereka berumur antara 16 dan 18 tahun.
Mereka akan membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, menurut sumber polis.
Sumber tersebut berkata pergaduhan itu melibatkan empat kumpulan pelajar samseng daripada beberapa buah sekolah di sekitar Wangsa Maju, Keramat dan Ampang.
Difahamkan polis kini mencari 51 individu lagi bagi membantu kes berkenaan. Zainuddin berkata salah seorang pelajar mangsa tersebut menerima 10 jahitan di kepala dan seorang lagi tujuh jahitan – BERNAMA